Saturday, June 11, 2011 | By: Faliyana

Ada Ketikanya Manusia Tiada Untuk Kita

Ada waktu, kita kesendirian menghadapi semua yang mendatang.

Tika itu, manusia lain termasuk ibu bapa, adik-beradik, sahabat karib, rakan dan kenalan tidak tahu tentang kita. Sedikitpun tidak. Tiada manusia lain yang tahu mengenai keadaan kita, melainkan kita sendiri. Hampir lemas, terkapai-kapai, terjerit-jerit dalam kesepian.

Dan semua itu, ada waktunya kita akan lalui dengan sendiri.

Lumrah manusia akan mencari tempat untuk mengadu. Tapi, nama pun manusia. Tidak sepanjang masa boleh mendengar segala pengaduan dan keresahan yang bersarang di jiwa kita. Kerana mereka juga ada kehidupan mereka sendiri, juga ada keresahan yang bersarang dalam hati mereka sendiri. Kemampuan mereka ada batasnya.

Akhirnya, siapa yang kita ada~?

Manusia Yang Memerlukan Pendengar

Memang betul, sahabat sejati itu ialah seorang sahabat yang boleh sama-sama dengan kita untuk susah dan senang. Bila kita sedih, dia juga akan turut bersedih lalu akan cuba mencari jalan untuk menghiburkan kita. Bila kita gembira, dia turut tumpang gembira siap mendoakan segala kebaikan buat diri kita. Bila kita-dia ada masalah, masing-masing sedia untuk menadah telinga. Indah, memang indah.

Tapi satu hal yang mungkin kita lupa, sahabat yang sejati itu juga ada kehidupan sendiri. Kadang-kala ada benda yang mencuri fokusnya lebih banyak berbanding untuk kita. Sampai waktu, sahabat itu tadi tidak akan ada untuk mendengar setiap butiran kata mengenai keresahan jiwa kita. Tidak dapat menghulurkan bantuan.

Ada masanya nanti, diri kita juga pun begitu. Walaupun pada masa itu kita cuba menyambut baik orang yang datang mahu mengadu kepada kita, kita sedaya upaya mahu menolong orang yang memerlukan pertolongan. Tapi masih, kita tidak akan dapat memberikan yang terbaik, sesuai dengan keperluan jiwa orang yang memerlukan.

Sama-sama makhluk, pasti ada kelemahan!

Dan akibat mungkin ada rajuk yang bermukim dihati, maka seseorang itu mulalah dirundung sedih. Murung. Malah ada yang menjauhkan diri dari manusia. Ya, perubahan tingkah laku. Dan itu, jika tidak dirawat, mula-mula merajuk pada manusia yang fikirnya, tidak memberi perhatian kepadanya.

Nanti, akan merajuk pula kepada ALLAh Ta’ala. Tidak mustahil kan?

Tidak dinafikan memang rasa sakit apabila luahan kita itu seakan-akan tidak difahami oleh orang yang mendengar, apatah lagi sahabat baik kita. Lagi-lagi kita ini bukanlah manusia peluah perasaan yang baik. Agaknya sebab itu mungkin kita akan menjadi agak pendiam. Atau pemendam, mungkin?

Lebih kepada mendengar, memasang telinga sahaja.

Jadi Kepada Siapa Harus Kembali

Taipan di atas bukanlah mahu mengatakan bahawa sahabat-sahabat atau orang lain tidak boleh diharapkan untuk mendengar luahan kita. Tidak. Sesekali tidak. Apa yang cuba di‘highlight’kan adalah, manusia itu punya keterbatasan dari segi kemampuan melayan setiap pengaduan kita.

Justeru, siapa pendengar yang boleh tahan dengan setiap pengaduan kita?

Hanya ALLAh-lah yang tidak jemu-jemu mendengar keluhan, pengaduan, keresahan dan kesedihan kita. Hanya Dia, Tuhan Yang Berdiri Dengan Sendirinya.

“Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar terhadap-Ku. Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sungguh, ALLAh beserta dengan orang-orang yang sabar.”
– al Baqarah : 152 – 153

Jangan salahkan manusia lain yang tidak dapat memahami perasaan kita apabila kita betul-betul memerlukan seorang pendengar setia yang boleh membuat kita rasa selamat dan tenang. Kerana disitu sahajalah batasnya sebagai seorang manusia, seorang hamba seperti anda dan saya.

Tapi, muhasabah dirilah sejenak.

*** Edited from www.cintailahi.com

0 comments:

Post a Comment