Wednesday, March 9, 2011 | By: Faliyana

Sayangi Hati Walau Dengan Secebis Kasih

Hati. Memang susah menjaga kestabilan hati. Fitrahnya memang suci, padahal! Tapi seiring dengan peningkatan usia, maka sedikit demi sedikit hati dihinggapi dengan pelbagai penyakit yang kadang kala empunya jasad tidak menyedari.

Penyakit hati itu halus. Hanya akan disedari apabila hati sudah tenat.

Hati oh hati. Manusialah yang bertanggungjawab ke atasnya. ALLAh memberikannya kepada manusia sesuai dengan fitrahnya yang suci dan sukakan kebaikan. Maka, manusia jugalah yang menanggung akibatnya apabila ia mengotorinya.

Maka, berhati-hati dengan hati.

Bukalah Hati Seluasnya

Sepertimana jendela, cahaya mentari hanya akan masuk ke dalam sebuah rumah apabila jendela itu dibuka luas. Dan cahaya itu akan membawa kesegaran ke dalam rumah. Tetapi jika jendela-jendela sesebuah rumah tertutup rapat, bagaimana sinar cahaya mentari ingin menyusupkan cahaya masuk?

Begitu juga hati, cahaya hanya akan masuk apabila anda bersedia membuka hati.

Menjaga hati itu tidak semestinya dengan menutup pintu hati. Pintu hati mesti selalu terbuka luas. Tetapi itu tidak bermakna tuan badan akan membiarkan sahaja hatinya diserang dengan penyakit-penyakit hati.

Saya teringat dulu masa kecil-kecil, 5 minit sebelum memulakan pelajaran dan 5 minit sebelum loceng kelas berbunyi, Ustazah saya akan ajar kami semua untuk berzikir. Saya masih ingat, seorang rakan sekelas pernah tanya,

“Ustazah, kenapa orang mesti berzikir?”

“Sebab sayang hati. Kalau sayang, kita kena jaga hati dengan berzikir..”

Ah. Kenangan yang comel!

Ada perbezaan antara manusia yang selalu berzikir dan yang jarang berzikir. Perbezaan ini boleh jadi pada perwatakan mereka, air muka mereka, senyuman dan redup mata mereka. Hakikatnya, penglihatan kita terhadap manusia yang selalu berzikir itu disinari dengan cahaya Ilahi. InshaALLAh.

Mereka itu boleh jadi anda yang sedang membaca entri ini. Dan sebetulnya, saya cemburu pada anda. Moga anda disayang ALLAh!

Jangan Kotori Hati

Macam mana hati boleh kotor sebenarnya? Anda ada jawapan?

Senang aja. Dengan bersangka-sangka pun hati boleh menjadi kotor. Apatah lagi apabila bersangka buruk dengan orang lain. Maka, kotorlah hati itu.

Macam mana nak jaga hati pulak? Senyum. Lihatlah hati dan diri anda itu pada orang lain. Dapat?

Sentiasalah mengisi hati dengan makanan rohani dan ilmu yang bermanfaat. Elakkan bersangka-sangka dan mentafsir diri orang lain. Jika hati anda terdetik hendak memfitnah orang lain dalam hati, maka cepat-cepatlah beristighfar. Isilah sangka-sangka anda itu dengan istighfar.

Selain itu, angkatan-angkatan syaitan juga sentiasa mengintai untuk memasukkan penyakit ke dalam hati anda yang sedang terbuka luas. Jika gagal, maka makhluk-makhluk ini akan mencuba dan mencuba kaedah baru yang lebih kuat dan dahsyat.

Dan bila syaitan berjaya, penyakit itu dapat mengaburi hati dan pandangan mata. Antara kesannya ialah, bila orang lain berbuat kebaikan atau baik dan sopan tingkah laku, manusia akan berasa mual dan menyampah. Lepas tu membuat tafsiran sendiri bahawa orang itu hanya hipokrit semata-mata.

Nah, jelik kan perangai seperti ini?

Hakikatnya, hati itu akan tertutup sedikit demi sedikit kerana perbuatan manusia sendiri. Believe me. Jangan pernah salahkan takdir atas apa yang menimpa diri anda sendiri. Tapi muhasabah diri kembali atas apa yang berlaku. Mesti banyak yang manusia terlepas pandang.

Jika tidak hendak hati menjadi kotor dan jasad menjadi angkuh, maka jagalah hati. Jagalah dengan penuh kasih dan sayang. Jika tidak mampu menjaga dengan sebaiknya, elakkanlah perkara-perkara yang merosakkan hati.

Hati itu adalah Raja bagi semua anggota badan. Jika rosak Raja, maka rosaklah kerajaannya. Masa itu, tiadalah yang salah melainkan jasad yang membawa hati tersebut.

Jom sama-sama jaga hati.

Semoga ALLAh merahmati.

***cintailahi.com

0 comments:

Post a Comment