Thursday, April 7, 2011 | By: Faliyana

Kekuatan Untuk Meninggalkan Kejahatan

Kebaikan dan kejahatan yang sebati dengan diri akan memandu empunya jasad ke arah yang bersesuaian dengannya. Sama ada ke arah kejahatan, atau pun kebaikan. Kalau jahat, maka jahatlah jadinya. Kalau baik, maka baiklah juga jadinya.

Tapi, tidak semua orang di dunia ini ingin menjadi seorang yang jahat.

Perkara yang baik dan jahat itu, akan menjadi darah dan daging manusia tanpa disedari. Kecenderungan ke arah kebiasaan pada perkara-perkara yang dilakukan boleh menenggelamkan empunya jasad. Bezanya, tenggelam secara perlahan-lahan atau pun dengan kadar yang cepat.

Manusia, pasti ada yang ingin berusaha untuk berubah.

Perbuatan Yang Menjadi Rutin Kebiasaan

Setiap perbuatan yang dimulai, pasti akan menuntut untuk perbuatan yang sama berulang-ulang kali. Mungkin akan menuntut sesuatu yang lebih besar, malahan!

Jika seseorang membuat perkara yang agak jahat pada mulanya, maka saya jamin, selepas itu akan ada perkara jahat yang lain lagi akan dilakukannya. Mungkin, bermula dari perkara jahat yang kelihatan agak remeh, tapi lama-kelamaan pasti akan melakukan sesuatu yang lebih besar; dosa besar.

Begitu juga, jika seseorang melakukan perkara kebaikan hatta sekecil-kecil perkara kebaikan, pasti akan ada lagi kebaikan yang ingin dilakukannya. Seiring dengan melakukan kebaikan itu, jiwa semakin lapang. InshaALLAh!

Persamaan kedua-dua di atas ini ialah, ia akan menjadi rutin!
Rutin yang akan membuahkan lebih banyak perkara kejahatan mahu pun kebaikan.

Diri Yang Meronta

Seorang kawan pernah berbual-bual dengan saya. Masa tu banyak benda dibualkan, akhirnya sedikit demi sedikit kawan tadi meluahkan bahawa dia ada tabiat yang dia nak buang. Tapi, sangat susah!

“Kadang-kadang, rasa nak bergaduh dengan diri sendiri. Kalaulah diri aku menjadi dua, agak-agak ktorang akan bertumbuk kot.”

“Bertumbuk? Laa.. Kenapa pula?”

“Yelaah. Saya tak nak buat. Tapi sebahagian diri aku ni nak juga suruh buat. Tak boleh duduk diam. Tapi bila aku dah buat, hati resah pula. Macam mana ya?”

“Ooh. Macam Dr. Jekyll and Mr. Hyde la kiranya kamu ni kan. Hehe.”

Apa yang saya dapat lihat, memang begitulah manusia. Jika meninggalkan perbuatan yang kurang elok, sebahagian diri pasti tidak keruan, meronta-ronta untuk buat lagi dan lagi. Tapi sebahagian diri yang lain, tidak mahu disebabkan ada satu sudut yang tidak membenarkan perbuatan itu; hati.

Tapi, saya kira, lebih baik seperti kisah kawan saya di atas ini daripada seseorang yang langsung tidak menghiraukan rayuan nuraninya sendiri. Fizikal mungkin kelihatan baik-baik aja, tapi jiwa tidak begitu.

Masalah jiwa itu tidak kelihatan. Tapi memberi impak yang dalam!

Memerlukan Kekuatan Dari Jiwa

Nak berubah untuk menjadi baik tidak senang. Baik itu memastikan anda meninggalkan perkara-perkara yang tidak baik. Tapi, untuk menjadi jahat sangatlah tidak susah. Perkara kejahatan sentiasa terbentang didepan mata, anda pilih!

Tapi, sesuatu yang saya sangat pasti..

Orang yang tegar buat perkara-perkara yang tidak elok tanpa ada sekelumit rasa bersalah, maka syaitan akan turut membantunya untuk menguatkan lagi keinginannya kepada kejahatan. Syaitan akan memantapkannya ke jalan kejahatan sehinggalah dirinya mendapat natijah akan setiap perbuatannya.

Dan orang yang berusaha untuk membuat perkara kebaikan, pasti ALLAh akan membantu dan memberikan kemudahan walaupun kadangkala jiwa akan memberontak. InshaALLAh, moga ALLAh permudahkan.

Kesimpulannya, kekuatan jiwa itu sangat diperlukan untuk meninggalkan kejahatan jika ingin mendapat kebaikan dan pandangan rahmat daripada ALLAh SWT.

Saya jadi teringat pada kata-kata yang selalu diucapkan oleh Mudir SD Muhammadiyyah, Laskar Pelangi. Anda mungkin pernah menonton filem ini. Kata Mudir tu,

“Hidup ini, memberilah sebanyak-banyaknya. Bukan menerima sebanyak-banyaknya!”

Senyum.

Semoga ALLAh merahmati.

***www.cintailahi.com


0 comments:

Post a Comment