Showing posts with label Islam a Way of Life. Show all posts
Showing posts with label Islam a Way of Life. Show all posts
Monday, November 21, 2011 | By: Faliyana

Menghargai Diri Sendiri

Salah satu cara menghargai diri ialah menghormati diri sendiri dan memberi ruang kepada diri sendiri.

Kadang-kadang kita terlalu ikutkan hati dalam hidup ini untuk menjadi seseorang yang disenangi ramai. Dan tanpa sedar, sebenarnya kita hanya memenuhi keinginan orang ramai untuk berkawan dengan kita. Sedih? Ya. Sebab kita seakan tidak mengenal diri.

Ada masa, hati terusik dengan peribadi seseorang yang menarik hati. Mungkin itu petanda baik, kalau kita menjadikan seseorang yang baik itu sebagai contoh untuk kita membina peribadi yang lebih baik. Tapi, juga boleh menjadi suatu yang buruk jika kita terlalu obses dengannya. Kita akan kehilangan diri.

Menjadi diri sendiri, dengan menghargai diri.

Kamu Diciptakan, Dan Hanya Kamu ALLAh Ta’ala menciptakan setiap seorang dari manusia itu mempunyai watak yang berbeza-beza. Hatta kembar yang lahir pada selang beberapa minit dan dari rahim yang sama, pasti berbeza perwatakan. Tinggal saja manusia selepas akil balighnya mencorakkan akhlak diri; sama ada baik dan buruk.

Kita ini, hiduplah sebagaimana yang diciptakan.

Setiap manusia memiliki corak dan warna diri. Dan hiduplah dengan corak dan warna itu. Serta sama-samalah pastikan agar corak dan warna diri itu selaras dengan kehendak Tuan Punya Dunia. Bila bercakap soal hidup dengan corak dan warna diri, bukan bererti kita yang sebelum ini kekal dengan sifat mazmumah. Bukan. Tapi kekallah dengan corak dan warna diri itu tapi dalam masa yang sama memperbaiki diri.

Umat manusia – dengan pelbagai ragam dan tabiat; laksana tumbuhan – tidak terhad hanya kepada warna hijau. Ada yang pendek dan panjang, ada yang masam dan manis. Dan tumbuhan itu tetap menjadi seperti itu.

Maka seharusnya begitulah kita sebagai umat manusia. Menerima diri dengan seadanya, menghiasi diri dengan garis panduan dari Ilahi, menjadi manusia yang bermanfaat kepada orang lain. Jangan pernah mahu menjadi orang lain!

Kerana anda, akan sentiasa menjadi diri anda!

Menjadi dan menghargai diri sendiri itu sebenarnya, perlaksanaan akan sebuah kesyukuran atas pemberian Sang Tuhan.

Tak perlu terseksa untuk menjadi yang terbaik bagi sahabat anda, cukup dengan memberi seikhlas mungkin berdasarkan kemampuan diri.

***edited from cintailahi.com.

Wednesday, October 26, 2011 | By: Faliyana

Renungkan Bersama

Apabila musibah menyinggah, saat itu manusia merapatkan diri kepada ALLAH!

Hidup kita ini, kalau diteliti betul-betul, banyak waktu memang penuh dengan rasa dilema, rasa terbeban dengan pelbagai masalah; masalah di sana, masalah di sini. Dan apabila masalah itu bersangkut paut urusannya dengan manusia lain, sangat serabut.

Percaya atau tidak, kena tanya diri sendiri. Memang kan, bila kita ditimpa pelbagai bebanan masalah, barulah kita akan meminta sungguh-sungguh kepada ALLAh Ta’ala. Dan apabila bebanan itu selesai, manusia akan sangat gembira, sangat bersyukur memuji-muji ALLAh Ta’ala. Dan hari demi hari, kehidupannya menjadi tenang-tenang saja. Maka tercipta lagi hijab kejauhan antara diri manusia itu dengan ALLAh.

Teringat akan kisah Fir’aun yang megah itu saat ALLAh binasakannya.

Sudah Direndahkan, Baru Mahu Merendah

Hubungan dengan manusia sesama manusia sendiri pun, ada waktunya hilang perlahan-lahan. Hilang yang sangat halus pada pandangan mata, sehingga hati itu tidak dapat merasa. Apabila seseorang sudah meninggalkan kita kerana kita asyik dengan diri sendiri dan apa-apa sajalah, maka baru kita akan tersedar tercari-cari manusia itu.

Apatah lagi hubungan manusia dengan ALLAh Ta’ala. Tika ALLAh berikan nikmat kebahagiaan berupa harta dan kesenangan hati, manusia ada yang mudah alpa, lalai dan akhirnya tenggelam dalam kenikmatan itu sehinggalah ALLAh Ta’ala tarik perlahan demi perlahan nikmat yang diberikan.

Bila sudah lemas dalam kesusahan, rendah dalam kepayahan, barulah manusia akan merendahkan diri dihadapan ALLAh Ta’ala. Merintih semahu-mahunya!

Eh, itu bukan penghinaan. Syukur sebab kita masih dipandang oleh ALLAh Ta’ala. Disedarkan manusia dengan sesuatu yang melalaikannya.

Kisah Fir’aun tidak asing di langit sejarah dunia. Seorang pemerintah yang berkuasa sehingga mengaku dirinya Tuhan. Semua perintahnya mesti dilaksanakan, tidak boleh tidak. Tidak boleh dibantah dan dicabar, atau tidak, nyawa orang lain dihujung pedang.

ALLAh Maha Hebat. Ditakdirkan suatu hari, Fir’aun yang angkuh, bongkak dan sombong itu dibinasakan dengan hempasan ombak. Dipukul dengan alunan air yang pada mulanya tenang, bertukar ganas tanpa belas.

Dan tahu saat dirinya merasa binasa seperti itu apa yang terucap di bibirnya,

“Amantu birobbi muusaaa waa haaruun!”

Aku beriman kepada Tuhan Musa dan Harun!

See? Manusia yang angkuh dan sombong sehingga mengangkat dirinya menjadi Tuhan dan tidak mempercayai adanya Tuhan lain yang mewujudkan alam ini akhirnya mengaku beriman kepada ALLAh di saat nyawanya dihujung tanduk.

Kita Tidak Perlu Menjadi Seperti Itu


Kita tidak perlu menjadi seperti Fir’aun; ALLAh binasakan dengan sebinasanya barulah Fir’aun baru mahu mengaku wujudnya Tuhan dan beriman kepada Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun, yakni ALLAh Ta’ala.

Kisah Fir’aun ini sepatutnya antara kisah yang boleh menggetarkan jiwa kita untuk menundukkan diri kepada Tuan Punya Dunia.

Kuasa ALLAh Ta’ala itu, andai saja dengan izin-Nya, bila-bila masa dan di mana saja kita berada, ALLAh Ta’ala boleh datangkan suatu musibah yang tragis dan boleh meragut nyawa kita. Mati dengan aib? Pastinya bukan pilihan kita, kan.

Ta’alluq billah (kebergantungan kepada ALLAh) pada diri manusia itu seharusnya tidak wujud hanya apabila manusia berada dalam kesusahan dan kesempitan, ketika diuji dengan masalah yang berat. Tidak perlu untuk manusia menunggu situasi yang sangat sukar sehingga dirinya tidak berdaya untuk melangkah baru mahu memanggil ALLAh Ta’ala. Tidak perlu menunggu sehingga kita membongkok akibat kesusahan di dalam jiwa baru mahu mencari-cari kebesaran ALLAh Ta’ala.

Rasa taqwa, pasrah dan redha itu patut menjadi aset kita semua.

Memang. Selalu sangat apa yang kita inginkan tidak menjadi seperti yang kita inginkan. Dan apa yang kita tidak ingin, itulah yang sering terjadi. Maka, semaklah kembali lembaran alQuran pada surah alBaqarah; “Boleh jadi sesuatu yang kamu sukai itu tidak baik bagi dirimu, dan boleh jadi sesuatu yang kamu tidak sukai itu baik bagi dirimu.”

ALLAh Ta’ala bekerja secara rahsia~

Teringat kata-kata Ibnu Athoillah, “Ketahuilah, takdir itu tidak berjalan menurut rancangan kita. Bahkan kebanyakan yang terjadi adalah apa yang kita tidak rancang. Dan sedikit sekali terjadi apa yang kita rancangkan.”

Kata-kata beliau di atas bukan mahu mengenepikan usaha. Bahkan ada penekanan terhadap sifat tawakkal, sabar dan redha di situ. Apa yang dimaksudkan oleh beliau adalah, apabila sudah berusaha dan apa yang diusahakan itu tidak seperti apa yang terjadi, maka pujuklah hati dengan kebesaran ALLAh Ta’ala.

Perancangan ALLAh Ta’ala, jauh mendahului perancangan kita.

Semoga ALLAh merahmati.

edited from www.cintailahi.com

Sunday, July 3, 2011 | By: Faliyana

Buat Baik Berpada-pada..

Setiap perbuatan jahat atau dengki itu akan menimbulkan keburukan. Mungkin keburukan kepada orang yang dibuat, dan si pelakunya sendiri. Percaya atau tidak, orang yang suka melakukan kejahatan mungkin akan berpuas hati dengan perbuatannya. Tapi pada satu sisi dirinya, keresahan pula menyelubungi.

Perbuatan Jahat Lahir Dari Hati Yang Tidak Bersih

Pada pandangan manusia, apabila kita membuat kejahatan, mungkin dapat disembunyikan tanpa diketahui oleh seorang manusia pun. Tapi, perasaan waktu itu, sentiasa rasa diperhatikan atau pun perkara yang disembunyikan bila-bila saja boleh terbongkar. Kerana apa ya perasaan itu? Kerana, ALLAh itu tidak pernah terlepas pandangan akan satu apapun yang hamba-Nya buat.

Sudah tentulah perasaan gelisah itu hadirnya kerana ALLAh Ta’ala masih mahu memberikan peluang kepada seseorang yang membuat kejahatan untuk insaf dan berhenti dari perbuatannya. Dan boleh jadi juga, perasaan itu hadir kerana ALLAh Ta’ala mahu memberikan balasan atas perbuatan hamba-Nya.

Sama-sama berdoa moga ALLAh Ta’ala ampunkan segala kejahatan yang pernah dilakukan dan semoga ALLAh terima taubat para hamba-Nya yang mahu bertaubat. InshaAllahu Ta’ala.

Layakkah taubat diterima?

Jika bertanyakan perihal layakkah taubat manusia itu diterima oleh ALLAh kepada manusia lain, maka tiada siapapun yang mengetahuinya. Satu hal yang sangat pasti, dan sangat dituntut untuk kita percaya ialah, ALLAh Ta’ala itu Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat.

ALLAh Maha Penyayang, ALLAh Maha Pengasih.

Seorang Lelaki Pembunuh Yang Bertaubat

Teringat pada satu kisah mengenai lelaki yang membunuh seramai 99 orang pada mulanya, dan akhirnya menjadi 100 orang. Genap. Kisah berdasarkan hadis Baginda Rasulullah SAW,

Daripada Abu Said al-Kudri, Rasulullah SAW bersabda, “Seorang lelaki daripada kalangan umat sebelum kamu telah membunuh seramai 99 orang. Lalu dia mencari seseorang yang paling alim. Setelah diperkenalkan kepadanya seorang pendeta, dia terus berjumpa dengan pendeta itu dan kemudian dia berkata, ‘Aku telah membunuh seramai 99 orang manusia, adakah taubatku masih diterima?’ Pendeta tersebut menjawab, ‘Tidak.’ Mendengar jawapan itu, dia terus membunuh pendeta tersebut dan genaplah 100 orang manusia yang telah dibunuhnya.

Tanpa berputus asa dia mencari lagi seseorang yang paling alim. Setelah ditunjukkan seseorang kepada seorang ulama, dia terus bertemu dengannya dan berkata, ‘Aku telah membunuh seramai 100 orang manusia. Adakah taubatku masih diterima?’ Ulama’ tersebut menjawab, ‘Ya. Tidak ada siapa yang boleh menghalang engkau daripada bertaubat. Pergilah ke negeri si fulan, kerana di sana ramai orang yang beribadat kepada ALLAh. Engkau beribadatlah kepada ALLAh SWT bersama-sama mereka dan jangan pulang ke negerimu kerana negerimu adalah negeri yang sangat hina.’

Lelaki tersebut beredar menuju ke tempat yang dinyatakan. Ketika di pertengahan jalan, tiba-tiba dia menemui ajalnya menyebabkan malaikat rahmat dan malaikat azab bertelingkah mengenainya.

Malaikat rahmat berkata, ‘Dia datang dalam keadaan bertaubat dan menghadapkan hatinya kepada ALLAh SWT.’ Manakala malaikat azab pula berkata, ‘Dia tidak pernah melakukan kebaikan.’ Lalu malaikat yang lain datang dalam keadaan menyerupai manusia dan cuba menghakimi mereka sambil berkata, “Ukurlah jarak di antara kedua-dua tempat. Mana yang lebih hampir, itulah tempatnya.’ Lantas para malaikat mengukurnya. Ternyata mereka mendapati lelaki itu lebih hampir kepada negeri yang ditujunya. Akhirnya dia diambil oleh malaikat rahmat..” – HR. Imam Bukhari

Ajal maut itu tidak pernah memberitahu akan tibanya waktunya. Dan kita sebagai manusia sendiri tidak tahu apakah sempat untuk kita bertaubat jika asyik bertangguh-tangguh untuk melaksanakannya lantaran merasa diri menanggung segunung dosa yang terlalu kotor?

Pengampunan ALLAh, lebih besar dari dosa hamba-Nya.

*** Edited from cintailahi.com

Sunday, June 26, 2011 | By: Faliyana

Memaafkan..Tapi Masih Terluka

Maaf. Satu perkataan yang mudah dilafazkan bagi kebanyakan orang.

Terhiris dan terluka dalam perhubungan seharian dengan manusia yang lainnya saya kira semua orang pernah hadapi. Ada yang berselisih faham dengan sahabat sendiri. Ada yang menerima makian daripada orang lain hanya kerana membawa sesuatu yang betul. Ataupun, ada yang terluka kerana ditipu.

Lalu, datanglah orang-orang yang pernah menyakitkan hati itu untuk memohon kemaafan. Walaupun dengan hati yang sakit dan tidak merelakan, perkataan ‘dimaafkan’ itu tetap dilafazkan kepada orang yang memohon maaf tadi. Tapi, maaf itu hanya sekadar perhiasan dibibir tetapi dihati masih memendam rasa terluka sehingga menjauhkan diri dari si dia yang pernah menyakitkan hati.

Nah, adakah itu namanya benar-benar memaafkan?

Apabila Hati Terluka Dek Orang

Hidup ini tidak menjanjikan kebahagiaan semata-mata. Maka, terluka oleh orang lain adalah salah satu cabang daripada ujian ALLAh Ta’ala. Dan cara disakiti oleh orang lain itu pula dengan cara yang berbeza-beza. Mungkin pada sindiran, mungkin dengan cara memburukkan atau mengumpat dibelakang, atau macam-macamlah cara yang anda ketahui.

Dan oleh kerana manusia itu juga namanya adalah manusia, sebagai insan biasa, rasa sakit hati itu pastinya hinggap didalam diri. Apabila lama memendam rasa sakit hati, maka dendam pula mengambil alih peranan.

Kadang-kadang, apabila mendapat tahu si A mengumpat anda, rasa sakit itu itu akan serta merta muncul dalam diri. Kenapa? Mungkin rasa dikhianati. Mungkin rasa maruah tercalar.

Baik. Itu perasaan yang normal pada seorang manusia biasa.

Tapi, disaat manusia yang bersalah itu didatangi dengan perasaan berdosa dan datang kepada anda untuk memohon maaf dalam keadaan anda masih memendam rasa sakit hati, maka anda memaafkan kerana tercampak sedikit meluat melihat wajah si pesalah.

Walaupun pada masa itu anda sebenarnya tidaklah memaafkan sepenuh hati.

Adakah itu normal? Bagi saya tidak.

Memaafkan Tapi Masih Terluka

Apabila memberi kemaafan yang datangnya bukan dari jiwa, percayalah.. Dendam itu akan tumbuh meliar dalam jiwa. Dan boleh jadi seseorang yang masih berdendam itu akan melakukan perkara-perkara yang lebih kurang sama dengan orang yang pernah mengaibkan atau menjatuhkan air muka seseorang itu.

Saya kira, apabila seseorang itu kononnya memberi kemaafan tapi masih terluka, maka itu bukanlah memberi kemaafan sebenarnya. Itu hanyalah suatu perisa yang menambahkan lagi dendam anda.

Perlukan masa untuk pulih dari luka itu?

Tiada masalah. Ambillah sebanyak mana masa yang anda mahu. Tetapi jangan cuba berbohong dengan diri sendiri apabila memberikan kemaafan kepada orang lain sedangkan saat itu jiwa anda membara-bara dengan melihat wajahnya. Ingat deh sahabat, orang yang bersalah, apabila datang kepada anda untuk memohon maaf dan anda memberi kemaafan tidak sepenuh hati, maka urusannya dengan anda telah selesai. Selebihnya, urusan anda dengan ALLAh Ta’ala pula.

Sekali lagi, itu bukan memaafkan namanya!

Bagi saya sendiri begini, sekiranya hati anda masih belum reda dengan kejadian yang berlaku dan apabila datang si A yang telah membuat hati anda sakit dan marah untuk memohon maaf sedangkan pada masa itu anda belum boleh memaafkan sepenuhnya, maka berkatalah padanya,

“Berikan saya sedikit masa untuk biarkan hati saya reda dahulu.”

Cara itu adalah lebih baik. Biar berterus-terang. Dan dengan cara itu, hati akan lembut sedikit demi sedikit kerana anda tahu, anda meminta diberikan masa untuk mengubati hati yang sedang sakit dilukai manusia lain. Maka dalam masa itu, anda akan cuba belajar untuk memaafkan.

Jangan menganiayai diri sendiri dan orang lain yang memohon kemaafan daripada anda dengan memberinya ketaatan palsu. Mereka sebahagian daripada diri kita.

“Seorang muslim adalah saudara bagi sesama muslim ,kerana itu janganlah menganiaya,jangan membiarkannya teraniaya dan janganlah menghinanya.Taqwa tempatnya disini!Sambil baginda menunjuk ke dadanya sebanyak 3 kali.Alangkah besar dosanya menghina saudara sesama muslim,setiap muslim haram menumpahkan darah saudara sesama muslim.Haram merampas haratanya dan haram mencemarkan kehormatan atau nama baiknya” [Hadis Riwayat Muslim]

Jangan mudah melafazkan kata memaafkan seandainya hati tidak berkata sedemikian!

Memberi Kemaafan Adalah Jalan Terbaik

Sebenarnya, orang yang benar-benar memberi kemaafan akan terlepas dari dendam dan sakit hati apabila mengenangkan perbuatan orang padanya. Sebaliknya, orang yang memberi kemaafan akan tenang dan merasai kelapangan jiwa. MashaAllah.

Memang, sebagai manusia biasa adakalanya berhadapan dengan kesukaran untuk memaafkan orang lain. Tapi ingatlah, sifat orang yang mudah memaafkan itu adalah akhlah muslim yang terpuji.

Justeru, saya kira orang pemaaflah yang paling kuat. Kenapa?

Sebab, sebenarnya walaupun dia berupaya untuk membalas segala perbuatan orang kepadanya, namun dia mengambil jalan untuk memaafkan dengan berusaha untuk ikhlas kerana ALLAh Ta’ala.

Rasulullah SAW pernah bersabda.

“Tidak sempurna keimanan seseorang daripada kalian, sebelum dia mencintai saudaranya (sesama Muslim) sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” -HR. Bukhari

Janganlah daripada kita tergolong daripada orang yang berdendam malah ada yang sampai bersumpah untuk tidak memberi sebarang bantuan kepada orang yang bersalah kepada kita sepanjang hidup. Astaghfirullah~

“…dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahawa ALLAh mengampunimu. Dan ALLAh Maha Pengampun, Maha Penyayang.” – an Nuur : 22

Rasulullah SAW seorang yang pemaaf. Sebab itu Baginda juga menuntut umatnya untuk memaafkan atas kesalahan yang boleh dengan mudah diberikan kemaafan. Aduh! Sungguh malu apabila terkenangkan perjalanan hidup Rasulullah yang bukan saja diumpat, dikatakan gila, malah dibaling batu sehingga luka berdarah. Kalau boleh pada masa itu, boleh saja Baginda meminta kepada ALLAh untuk diturunkan bala seksaan. Malah, Baginda menolak untuk berbuat sedemikian.

MashaAllah. Tabarakallah~

Sekali lagi, memaafkan adalah jalan yang terbaik. Dan, jika belum bersedia untuk memaafkan kerana hati meminta waktu supaya reda, maka katakan terus-terang tentang itu. Jangan memberi kemaafan tatkala masih berdendam. Kerana, ada perhitungan ALLAh Ta’ala untuk itu!

Pssst! Saya tahu anda seorang yang pemaaf dan lembut hati.

Semoga ALLAh merahmati kehidupan anda sekeluarga di dunia dan akhirat. Senyum.

Semoga ALLAh merahmati.

***cintailahi.com

Wednesday, June 1, 2011 | By: Faliyana

Sahabat Berkurang, Sahabat Bertambah

Dalam hal persahabatan, manusia juga selalu teruji.

Didalam persahabatan, ada hak-hak yang wajib ditunaikan sebagai seorang sahabat kepada sahabat yang lain. Ada ingatan yang perlu sebagai ingatan kepada sahabat yang lain. Ada cinta dan kasih yang perlu disemaikan sesama sahabat yang lain. Ada akhlak yang baik dituntut sesama persahabatan.

Itu antara hak-hak yang ada dalam persahabatan.

Akibat kelemahan diri sendiri, ada diantara hak-hak itu dipandang ringan. Ada juga mungkin terlepas pandang, kurang mengambil tahu atau kesibukan telah memperdayakan diri sendiri. Atau juga kerana kurangnya titipan doa buat sahabat-sahabat yang lain, maka Allah hendak mengujinya dengan hubungan persahabatan.

Kelangsungan Sebuah Tali Persahabatan

Saya kira, dalam bersahabat, akhlak yang baik dan tanda-tanda kesetian seorang sahabat kepada sahabatnya, antaranya ialah mengingatinya sentiasa dalam doa dari kejauhan tidak kiralah doa itu diketahui oleh sahabatnya atau tidak. Namun sebaik-baiknya, doa yang khusus untuk sahabat itu biarlah antara anda dan ALLAh Ta’ala dan malaikat sahaja yang tahu. Dan juga, yang sentiasa bertanya khabar kepada sahabatnya dan keluarga meskipun melalui sms/emel atau yang sama waktu dengannya.

Benda-benda seperti ini memang kelihatan remeh, tapi memberikan impak yang besar!

Dan jika ada akhlak yang baik, saya percaya disitulah terdapatnya akhlak yang kurang baik. Anda tidak tertanya-tanya kenapa tajuk entri ini tertulis seperti ‘Sahabat Berkurang Akibat Sahabat Bertambah’? Kenapa tidak ‘Akhlak Dalam Persahabatan’? Senyum.

Dalam kesibukan ke sana ke mari, program sana sini, saya percaya ALLAh Ta’ala akan mempertemukan anda dengan ramai orang. Dan InshaAllah, saya percaya, diantara ramai-ramai orang itu ada yang telah dan akan menjadi sahabat anda nanti.

Keadaan seperti itulah yang memerlukan anda untuk istiqamah dalam persahabatan.

Memang indah menyulam benang-benang ukhuwah. Keterujaan mengenali seseorang, latarbelakangnya, kegemarannya, kelebihannya, akhlaknya dan tutur bicaranya akan selalu diperhatikan dalam diam. Maka secara tidak langsung, keterujaan itu menuntut masa yang lebih untuk diluangkan kerananya. Sedangkan, di suatu tempat yang lain, anda juga mempunyai sahabat yang perlu anda kenali lagi dan lagi.

MashaAllah. Sesungguhnya ALLAh Ta’ala suka pada hamba-Nya yang menyambung silaturrahim. Tapi akhlak yang buruk dalam persahabatan itu macam mana ya?

Mari…

Sahabat Lama vs Sahabat Baru

Antara akhlak buruk dalam persahabatan itu adalah, apabila anda mengenali seseorang sahabat yang baru dan anda sibuk serta teruja mengenali keperibadiannya, maka sahabat anda yang lama telah anda kenali, anda telah tinggalkan atau abaikan secara diam. Ya, mungkin anda sendiri tidak menyedari akan hal itu. Tapi ia memberikan impak kepada sahabat lama anda.

Boleh jadi, tali ukhuwah anda dengannya akan terputus!

Sebenarnya, saya tidak suka menggunakan label sahabat lama dan baru. Walaupun begitu, saya terpaksa gunakan kerana ia adalah suatu hakikat untuk disertakan dalam entri ini.

Ya, menjalinkan silaturrahim sesama manusia itu tidak dilarang, bahkan sangat digalakkan dalam agama. Namun kerana kelemahan anda, dalam menjalinkan silaturrahim dan menjaga hubungan sesama manusia, sahabat anda yang lain terasa terpinggir oleh anda. Mereka berasa bahawa anda dingin terhadap mereka, merasa bahawa mereka terabai kerana anda kurang bertanya khabar dan menyapa mereka.

Malah, mereka merasa bahawa ukhuwah anda dan mereka tiada seri!Kerana menjumpai sahabat baru, maka sahabat lama diabaikan dalam tidak sedar.

Saya sangat pasti, anda tidak mahu persahabatan anda dengan semua sahabat-sahabat yang anda cintai menjadi seperti ini. Penuh dengan perasaan dingin dan perasaan diabaikan.

Sahabat anda yang lama itu, jika benar menyayangi anda seikhlasnya, maka saya pasti dia akan gembira jika anda bertambah kenalan dan sahabat baru. Kerana kebahagiaan anda, adalah kegembiraan baginya, inshaAllah. Tapi apa yang tidak membahagiakan dirinya adalah apabila anda seakan-akan melupakan dirinya dan dia merasa sedih kerana anda membuatnya terasa yang anda memiliki orang yang lebih penting dan anda lebih cintai berbanding dia.

Persoalannya bukanlah kerana anda mempunyai sahabat baru.

Tetapi persoalannya adalah mengenai sikap anda yang membuatnya resah, dipinggirkan, merasa rendah diri dan terhina. Ya, semua itu dia dapat rasai walaupun anda tidak memberitahunya secara lisan. Pernah dengar kata-kata ini, Actions speak louder than words? Saya kira ayat ini memang betul!

Kerendahan Hati Sebagai Seorang Sahabat

Tanda-tanda kesetiaan kepada sang sahabat adalah tetap merendah hati walau siapapun diri anda dan mengingatkan anda sekiranya terlupa!

Sahabat yang baik dan sebenar-benarnya sahabat adalah sahabat yang menerima kelebihan dan kekurangan dalam sahabatnya. Jika sahabatnya mempunyai kekurangan dari satu segi, maka dia akan menutupi dengan kelebihannya. Dan dia tidak pula memandang rendah kepada sahabatnya tadi malah membantunya!

Jika ALLAh Ta’ala takdirkan untuk mengenali sahabat baru, jangan sekali-kali membandingkan sahabat yang baru anda kenali itu dengan sahabat yang telah lama anda kenali. Ia salah satu sifat yang jelek! Jika anda berbuat demikian, maka itu bukanlah ciri seorang sahabat yang baik kerana mengira-ngira akan kekurangan dan kelebihan sahabat lalu dibandingkan dengan sahabat yang baru dikenali.

Jangan sahabat baru bertambah, sahabat lama berkurang. Kerana hakikatnya, sahabat anda tidak akan pernah bertambah. Sebaliknya makin berkurang! Alangkah sedihnya.

Umar Al-Khattab pernah berkata, “Tiga hal yang dapat memurnikan tali kasih seorang sahabat kepadamu ialah, jika bertemu tegurlah dengan salam terlebih dahulu, memanggilnya dengan nama yang paling disukai, mempersilakan dan memberi tempat kepadanya dalam suatu acara.”

MashaAllah. Begitu sudahkah kita sebagai seorang sahabat?Yang memuliakan sahabatnya lebih daripada diri sendiri.

Nasihat yang terutamanya untuk diri saya sendiri sebenarnya yang masih belajar dan akan terus belajar.

Jika anda ada sahabat yang mengasihi anda seperti mengasihi dirinya, maka hargailah ia.Bersyukur dan berilah rasa istimewa dihatinya sebagai seorang sahabat anda.Kerana dia, adalah sebahagian daripada hidup ini untuk ke akhirat!

*** edited from www.cintailahi.com