Sunday, June 26, 2011 | By: Faliyana

Memaafkan..Tapi Masih Terluka

Maaf. Satu perkataan yang mudah dilafazkan bagi kebanyakan orang.

Terhiris dan terluka dalam perhubungan seharian dengan manusia yang lainnya saya kira semua orang pernah hadapi. Ada yang berselisih faham dengan sahabat sendiri. Ada yang menerima makian daripada orang lain hanya kerana membawa sesuatu yang betul. Ataupun, ada yang terluka kerana ditipu.

Lalu, datanglah orang-orang yang pernah menyakitkan hati itu untuk memohon kemaafan. Walaupun dengan hati yang sakit dan tidak merelakan, perkataan ‘dimaafkan’ itu tetap dilafazkan kepada orang yang memohon maaf tadi. Tapi, maaf itu hanya sekadar perhiasan dibibir tetapi dihati masih memendam rasa terluka sehingga menjauhkan diri dari si dia yang pernah menyakitkan hati.

Nah, adakah itu namanya benar-benar memaafkan?

Apabila Hati Terluka Dek Orang

Hidup ini tidak menjanjikan kebahagiaan semata-mata. Maka, terluka oleh orang lain adalah salah satu cabang daripada ujian ALLAh Ta’ala. Dan cara disakiti oleh orang lain itu pula dengan cara yang berbeza-beza. Mungkin pada sindiran, mungkin dengan cara memburukkan atau mengumpat dibelakang, atau macam-macamlah cara yang anda ketahui.

Dan oleh kerana manusia itu juga namanya adalah manusia, sebagai insan biasa, rasa sakit hati itu pastinya hinggap didalam diri. Apabila lama memendam rasa sakit hati, maka dendam pula mengambil alih peranan.

Kadang-kadang, apabila mendapat tahu si A mengumpat anda, rasa sakit itu itu akan serta merta muncul dalam diri. Kenapa? Mungkin rasa dikhianati. Mungkin rasa maruah tercalar.

Baik. Itu perasaan yang normal pada seorang manusia biasa.

Tapi, disaat manusia yang bersalah itu didatangi dengan perasaan berdosa dan datang kepada anda untuk memohon maaf dalam keadaan anda masih memendam rasa sakit hati, maka anda memaafkan kerana tercampak sedikit meluat melihat wajah si pesalah.

Walaupun pada masa itu anda sebenarnya tidaklah memaafkan sepenuh hati.

Adakah itu normal? Bagi saya tidak.

Memaafkan Tapi Masih Terluka

Apabila memberi kemaafan yang datangnya bukan dari jiwa, percayalah.. Dendam itu akan tumbuh meliar dalam jiwa. Dan boleh jadi seseorang yang masih berdendam itu akan melakukan perkara-perkara yang lebih kurang sama dengan orang yang pernah mengaibkan atau menjatuhkan air muka seseorang itu.

Saya kira, apabila seseorang itu kononnya memberi kemaafan tapi masih terluka, maka itu bukanlah memberi kemaafan sebenarnya. Itu hanyalah suatu perisa yang menambahkan lagi dendam anda.

Perlukan masa untuk pulih dari luka itu?

Tiada masalah. Ambillah sebanyak mana masa yang anda mahu. Tetapi jangan cuba berbohong dengan diri sendiri apabila memberikan kemaafan kepada orang lain sedangkan saat itu jiwa anda membara-bara dengan melihat wajahnya. Ingat deh sahabat, orang yang bersalah, apabila datang kepada anda untuk memohon maaf dan anda memberi kemaafan tidak sepenuh hati, maka urusannya dengan anda telah selesai. Selebihnya, urusan anda dengan ALLAh Ta’ala pula.

Sekali lagi, itu bukan memaafkan namanya!

Bagi saya sendiri begini, sekiranya hati anda masih belum reda dengan kejadian yang berlaku dan apabila datang si A yang telah membuat hati anda sakit dan marah untuk memohon maaf sedangkan pada masa itu anda belum boleh memaafkan sepenuhnya, maka berkatalah padanya,

“Berikan saya sedikit masa untuk biarkan hati saya reda dahulu.”

Cara itu adalah lebih baik. Biar berterus-terang. Dan dengan cara itu, hati akan lembut sedikit demi sedikit kerana anda tahu, anda meminta diberikan masa untuk mengubati hati yang sedang sakit dilukai manusia lain. Maka dalam masa itu, anda akan cuba belajar untuk memaafkan.

Jangan menganiayai diri sendiri dan orang lain yang memohon kemaafan daripada anda dengan memberinya ketaatan palsu. Mereka sebahagian daripada diri kita.

“Seorang muslim adalah saudara bagi sesama muslim ,kerana itu janganlah menganiaya,jangan membiarkannya teraniaya dan janganlah menghinanya.Taqwa tempatnya disini!Sambil baginda menunjuk ke dadanya sebanyak 3 kali.Alangkah besar dosanya menghina saudara sesama muslim,setiap muslim haram menumpahkan darah saudara sesama muslim.Haram merampas haratanya dan haram mencemarkan kehormatan atau nama baiknya” [Hadis Riwayat Muslim]

Jangan mudah melafazkan kata memaafkan seandainya hati tidak berkata sedemikian!

Memberi Kemaafan Adalah Jalan Terbaik

Sebenarnya, orang yang benar-benar memberi kemaafan akan terlepas dari dendam dan sakit hati apabila mengenangkan perbuatan orang padanya. Sebaliknya, orang yang memberi kemaafan akan tenang dan merasai kelapangan jiwa. MashaAllah.

Memang, sebagai manusia biasa adakalanya berhadapan dengan kesukaran untuk memaafkan orang lain. Tapi ingatlah, sifat orang yang mudah memaafkan itu adalah akhlah muslim yang terpuji.

Justeru, saya kira orang pemaaflah yang paling kuat. Kenapa?

Sebab, sebenarnya walaupun dia berupaya untuk membalas segala perbuatan orang kepadanya, namun dia mengambil jalan untuk memaafkan dengan berusaha untuk ikhlas kerana ALLAh Ta’ala.

Rasulullah SAW pernah bersabda.

“Tidak sempurna keimanan seseorang daripada kalian, sebelum dia mencintai saudaranya (sesama Muslim) sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” -HR. Bukhari

Janganlah daripada kita tergolong daripada orang yang berdendam malah ada yang sampai bersumpah untuk tidak memberi sebarang bantuan kepada orang yang bersalah kepada kita sepanjang hidup. Astaghfirullah~

“…dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahawa ALLAh mengampunimu. Dan ALLAh Maha Pengampun, Maha Penyayang.” – an Nuur : 22

Rasulullah SAW seorang yang pemaaf. Sebab itu Baginda juga menuntut umatnya untuk memaafkan atas kesalahan yang boleh dengan mudah diberikan kemaafan. Aduh! Sungguh malu apabila terkenangkan perjalanan hidup Rasulullah yang bukan saja diumpat, dikatakan gila, malah dibaling batu sehingga luka berdarah. Kalau boleh pada masa itu, boleh saja Baginda meminta kepada ALLAh untuk diturunkan bala seksaan. Malah, Baginda menolak untuk berbuat sedemikian.

MashaAllah. Tabarakallah~

Sekali lagi, memaafkan adalah jalan yang terbaik. Dan, jika belum bersedia untuk memaafkan kerana hati meminta waktu supaya reda, maka katakan terus-terang tentang itu. Jangan memberi kemaafan tatkala masih berdendam. Kerana, ada perhitungan ALLAh Ta’ala untuk itu!

Pssst! Saya tahu anda seorang yang pemaaf dan lembut hati.

Semoga ALLAh merahmati kehidupan anda sekeluarga di dunia dan akhirat. Senyum.

Semoga ALLAh merahmati.

***cintailahi.com

Thursday, June 16, 2011 | By: Faliyana

Simpanan Hari Tua..

Walaupun usia sudah menjangkau suku abad,masih belum terlambat untuk mula menabung. Ini sedikit tips dari pakar kewangan.

Mula menyimpan dari awal. Jangan menunggu sehingga waktu yang sesuai. Lebih awal anda mula menyimpan, lebih banyak wang simpanan anda. Cuba simpan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan setiap bulan sebelum berbelanja. Tingkatkan simpanan anda setiap kali pendapatan anda bertambah, contohnya, apabila anda menerima bonus. Simpan wang anda dalam akaun simpanan tetap. Dengan faedah yang lebih tinggi berbanding akaun simpanan, wang simpanan anda akan bertambah dengan lebih cepat.

Simpan sebelum anda berbelanja bukan sebaliknya.

Kebanyakan orang melakukan ini:
PENDAPATAN – PERBELANJAAN = SIMPANAN/ PELABURAN

Anda sepatutnya melakukan ini:
PENDAPATAN – SIMPANAN/ PELABURAN = PERBELANJAAN

Dengan cara ini, anda pasti dapat menyimpan sebahagian daripada pendapatan yang diperolehi setiap bulan.

Wujudkan sebuah tabung kecemasan yang berjumlah tiga hingga enam bulan perbelanjaan bulanan anda untuk memenuhi keperluan sekiranya terjadi sesuatu perkara atau perbelanjaan yang tidak diingini.Tabung kecemasan ini akan menghindarkan diri anda daripada berhutang apabila terjadi perkara seperti ini.Walau bagaimanapun, jangan gunakan wang yang disimpan di dalam tabung ini untuk perbelanjaan harian atau memenuhi matlamat kewangan anda.

Em,banyak lagi tips menarik berkenaan cara menguruskan kewangan ni, tapi apa-apa pun..mulakan dari jumlah yang sedikit..bak perumpamaan orang melayu kita.."sikit-skit, lama-lama jadi bukit"

InsyaALLAH..
Saturday, June 11, 2011 | By: Faliyana

Jom..Mengadu Kepada ALLAH

Apabila hati kita dilanda keresahan, kebimbangan dan kegusaran, pasti kita akan mencari tempat untuk mengadu akan apa yang kita rasakan. Tujuan mengadu itu adalah untuk kita berkongsi rasa dan perasaan. Mengadu itu membuatkan kita merasa tidak bersendirian. Kerana kita yakin, ada orang lain yang mendengar segala rasa didalam jiwa. Walaupun mungkin ada yang tidak faham.

Lega rasanya.

Tetapi, seringkali juga kita sebagai manusia lupa mengadu kepada DIA yang menyebabkan segala apa yang telah kita rasai. Semua perasaan itu, adalah datang daripada Dia. Oleh kerana kelemahan manusia itu sendiri, selalu sahaja manusia membelakangkan Dia yang sedia untuk Mendengar setiap masa.

Manusia sentiasa ada tempat untuk mengadu.

Manusia Memang Sering Mengadu

Manusia ini antara salah satu sifatnya adalah lemah. Dan apabila berasa lemah, manusia akan mengadu kepada sesiapa yang diingin oleh hatinya agar dia merasa senang dan fikirannya sedikit lapang.

Mengadu kepada sahabat, ibu bapa, adik beradik dan insan lain.

Apabila ditimpa masalah, dan keserabutan fikiran itu tidak dapat kita tampung lagi secara bersendirian, secara automatiknya kita akan mencari seseorang yang boleh dipercayai untuk berkongsi masalah itu. Itu lumrah bagi manusia.

Anda begitu? Saya pun, begitu juga.

Apabila sahabat-sahabat saya datang mengadu kepada saya, berkongsi masalah mahupun kegembiraan, saya akan cuba raih sebaik mungkin. Saya berasa senang dapat berkongsi apa yang berlaku dalam hidup mereka. Saya tidak merasa terbeban. InshaAllah, jika saya dapat memberikan sedikit pendapat, maka saya akan berikan. Jika tidak, saya lebih memilih untuk diam mendengar masalah mereka.

Nah. Saya terfikir di sini.

Manusia seringkali mencari manusia untuk mengadu segala masalah yang dia hadapi. Adakah itu salah? Tidak. Bahkan itu fitrah. Tetapi, seringkali manusia akan mengadu kepada manusia tanpa terlebih dahulu mengadu kepada Tuan Punya Dunia.

Salahkah? Tidak. Tetapi kurang sopan.

ALLAh Sedia Mendengar Pengaduan Hamba-Nya

Kenapa saya katakan kurang sopan? Kalau ada yang tidak bersetuju, saya memohon maaf.

Apabila mengadu kepada manusia terlebih dahulu tanpa kembali kepada ALLAh, bagi saya itu kurang sopan. Kerana apa? Kerana ALLAh itu sentiasa memerhatikan kita dan sentiasa Maha Tahu akan setiap apa yang berlaku kepada kita. Tetapi, kita pergi mencari tempat lain untuk mengadu terlebih dahulu. Dan apabila perasaan itu sudah reda, barulah kita akan datang kepada ALLAh.

Pengaduan kepada ALLAh tidak memerlukan tempat yang spesifik. Anda boleh mengadu secara berjalan, duduk mahupun baring, hatta tengah berlari sekalipun. Sebaliknya mengadu kepada manusia, anda perlu mencari suasana yang bertepatan dengan mood anda waktu itu.

Allahuakbar.

Kita sering TERlupa ALLAh dalam hidup kita, kan. Saya akuinya.

Anda tahu, didalam sebuah Hadis Qudsi, pernah diceritakan bahawa apabila seorang hamba berdoa disertai dengan tangisan, maka ALLAh akan memberitahu dan menyuruh malaikat untuk menangguhkan permintaannya. Kerana apa? Kerana kata ALLAh, ALLAh rindu pada pengaduan yang bersungguh-sungguh seperti itu.

ALLAH rindu, wahai sahabat sekalian.

Subhanallah.

Hakikat Seorang Manusia

Hakikat yang perlu kita terima dan akui sebagai seorang manusia adalah, kita ini sering melupakan ALLAh SWT dalam hidup kita. Bahkan, tidak keterlaluan saya katakan, bahawa kita ini ada masa hanya mengingati ALLAh pada masa-masa yang tertentu.

Allahuakbar. Lemahnya kita.

Begitu juga dengan hal mengadu. ALLAh tidak larang kita berkongsi rasa kepada manusia. Tetapi sebaiknya, kita mengadulah terlebih dahulu kepada ALLAh. Kerana, hanya ALLAh yang Maha Memahami akan keadaan kita sedari kecil sehinggalah dewasa.

Sahabat, berbicara dengan ALLAh itu lain perasaan.

Apa perasaan itu? PUAS. Ya, kepuasan.

Mari, Mengadu Kepada ALLAh

Hei sahabat. Saya juga masih bertatih. Maka, mari duduk bersama saya. Kita sama-sama mengadu kepada ALLAh. Apabila sudah tenang dan kita memerlukan nasihat daripada seorang manusia, maka carilah seseorang untuk memberi nasihat kepada anda.

Saya sedia menjadi pendengar setia.

Dan saya harap anda juga begitu. Boleh mendengar masalah saya.

Kita saling bantu-membantu.

Yang penting, kita berusaha untuk memaksimakan ingatan kita terhadap ALLAh!

ALLAh itu, sentiasa ada di ‘sana’ untuk mendengar pengaduan dari kita, hamba-Nya. Apabila kita mengadu, bukan ALLAh tidak pernah memberikan tindakbalas. Sebaliknya, ALLAh mendengar pengaduan kita itu dengan mencampakkan ketenangan ke dalam hati kita walaupun kita tidak melihat wajah ALLAH SWT.

Anda tidak yakin? Nah, bacalah kalam ALLAh ini,

“Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar terhadap-Ku. Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sungguh, ALLAh beserta dengan orang-orang yang sabar.” – al Baqarah : 152 – 153

Ingin mengadu? ALLAh sentiasa ada dengan kamu.

***Edited from cintailahi.com

Ada Ketikanya Manusia Tiada Untuk Kita

Ada waktu, kita kesendirian menghadapi semua yang mendatang.

Tika itu, manusia lain termasuk ibu bapa, adik-beradik, sahabat karib, rakan dan kenalan tidak tahu tentang kita. Sedikitpun tidak. Tiada manusia lain yang tahu mengenai keadaan kita, melainkan kita sendiri. Hampir lemas, terkapai-kapai, terjerit-jerit dalam kesepian.

Dan semua itu, ada waktunya kita akan lalui dengan sendiri.

Lumrah manusia akan mencari tempat untuk mengadu. Tapi, nama pun manusia. Tidak sepanjang masa boleh mendengar segala pengaduan dan keresahan yang bersarang di jiwa kita. Kerana mereka juga ada kehidupan mereka sendiri, juga ada keresahan yang bersarang dalam hati mereka sendiri. Kemampuan mereka ada batasnya.

Akhirnya, siapa yang kita ada~?

Manusia Yang Memerlukan Pendengar

Memang betul, sahabat sejati itu ialah seorang sahabat yang boleh sama-sama dengan kita untuk susah dan senang. Bila kita sedih, dia juga akan turut bersedih lalu akan cuba mencari jalan untuk menghiburkan kita. Bila kita gembira, dia turut tumpang gembira siap mendoakan segala kebaikan buat diri kita. Bila kita-dia ada masalah, masing-masing sedia untuk menadah telinga. Indah, memang indah.

Tapi satu hal yang mungkin kita lupa, sahabat yang sejati itu juga ada kehidupan sendiri. Kadang-kala ada benda yang mencuri fokusnya lebih banyak berbanding untuk kita. Sampai waktu, sahabat itu tadi tidak akan ada untuk mendengar setiap butiran kata mengenai keresahan jiwa kita. Tidak dapat menghulurkan bantuan.

Ada masanya nanti, diri kita juga pun begitu. Walaupun pada masa itu kita cuba menyambut baik orang yang datang mahu mengadu kepada kita, kita sedaya upaya mahu menolong orang yang memerlukan pertolongan. Tapi masih, kita tidak akan dapat memberikan yang terbaik, sesuai dengan keperluan jiwa orang yang memerlukan.

Sama-sama makhluk, pasti ada kelemahan!

Dan akibat mungkin ada rajuk yang bermukim dihati, maka seseorang itu mulalah dirundung sedih. Murung. Malah ada yang menjauhkan diri dari manusia. Ya, perubahan tingkah laku. Dan itu, jika tidak dirawat, mula-mula merajuk pada manusia yang fikirnya, tidak memberi perhatian kepadanya.

Nanti, akan merajuk pula kepada ALLAh Ta’ala. Tidak mustahil kan?

Tidak dinafikan memang rasa sakit apabila luahan kita itu seakan-akan tidak difahami oleh orang yang mendengar, apatah lagi sahabat baik kita. Lagi-lagi kita ini bukanlah manusia peluah perasaan yang baik. Agaknya sebab itu mungkin kita akan menjadi agak pendiam. Atau pemendam, mungkin?

Lebih kepada mendengar, memasang telinga sahaja.

Jadi Kepada Siapa Harus Kembali

Taipan di atas bukanlah mahu mengatakan bahawa sahabat-sahabat atau orang lain tidak boleh diharapkan untuk mendengar luahan kita. Tidak. Sesekali tidak. Apa yang cuba di‘highlight’kan adalah, manusia itu punya keterbatasan dari segi kemampuan melayan setiap pengaduan kita.

Justeru, siapa pendengar yang boleh tahan dengan setiap pengaduan kita?

Hanya ALLAh-lah yang tidak jemu-jemu mendengar keluhan, pengaduan, keresahan dan kesedihan kita. Hanya Dia, Tuhan Yang Berdiri Dengan Sendirinya.

“Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar terhadap-Ku. Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sungguh, ALLAh beserta dengan orang-orang yang sabar.”
– al Baqarah : 152 – 153

Jangan salahkan manusia lain yang tidak dapat memahami perasaan kita apabila kita betul-betul memerlukan seorang pendengar setia yang boleh membuat kita rasa selamat dan tenang. Kerana disitu sahajalah batasnya sebagai seorang manusia, seorang hamba seperti anda dan saya.

Tapi, muhasabah dirilah sejenak.

*** Edited from www.cintailahi.com
Wednesday, June 1, 2011 | By: Faliyana

Sahabat Berkurang, Sahabat Bertambah

Dalam hal persahabatan, manusia juga selalu teruji.

Didalam persahabatan, ada hak-hak yang wajib ditunaikan sebagai seorang sahabat kepada sahabat yang lain. Ada ingatan yang perlu sebagai ingatan kepada sahabat yang lain. Ada cinta dan kasih yang perlu disemaikan sesama sahabat yang lain. Ada akhlak yang baik dituntut sesama persahabatan.

Itu antara hak-hak yang ada dalam persahabatan.

Akibat kelemahan diri sendiri, ada diantara hak-hak itu dipandang ringan. Ada juga mungkin terlepas pandang, kurang mengambil tahu atau kesibukan telah memperdayakan diri sendiri. Atau juga kerana kurangnya titipan doa buat sahabat-sahabat yang lain, maka Allah hendak mengujinya dengan hubungan persahabatan.

Kelangsungan Sebuah Tali Persahabatan

Saya kira, dalam bersahabat, akhlak yang baik dan tanda-tanda kesetian seorang sahabat kepada sahabatnya, antaranya ialah mengingatinya sentiasa dalam doa dari kejauhan tidak kiralah doa itu diketahui oleh sahabatnya atau tidak. Namun sebaik-baiknya, doa yang khusus untuk sahabat itu biarlah antara anda dan ALLAh Ta’ala dan malaikat sahaja yang tahu. Dan juga, yang sentiasa bertanya khabar kepada sahabatnya dan keluarga meskipun melalui sms/emel atau yang sama waktu dengannya.

Benda-benda seperti ini memang kelihatan remeh, tapi memberikan impak yang besar!

Dan jika ada akhlak yang baik, saya percaya disitulah terdapatnya akhlak yang kurang baik. Anda tidak tertanya-tanya kenapa tajuk entri ini tertulis seperti ‘Sahabat Berkurang Akibat Sahabat Bertambah’? Kenapa tidak ‘Akhlak Dalam Persahabatan’? Senyum.

Dalam kesibukan ke sana ke mari, program sana sini, saya percaya ALLAh Ta’ala akan mempertemukan anda dengan ramai orang. Dan InshaAllah, saya percaya, diantara ramai-ramai orang itu ada yang telah dan akan menjadi sahabat anda nanti.

Keadaan seperti itulah yang memerlukan anda untuk istiqamah dalam persahabatan.

Memang indah menyulam benang-benang ukhuwah. Keterujaan mengenali seseorang, latarbelakangnya, kegemarannya, kelebihannya, akhlaknya dan tutur bicaranya akan selalu diperhatikan dalam diam. Maka secara tidak langsung, keterujaan itu menuntut masa yang lebih untuk diluangkan kerananya. Sedangkan, di suatu tempat yang lain, anda juga mempunyai sahabat yang perlu anda kenali lagi dan lagi.

MashaAllah. Sesungguhnya ALLAh Ta’ala suka pada hamba-Nya yang menyambung silaturrahim. Tapi akhlak yang buruk dalam persahabatan itu macam mana ya?

Mari…

Sahabat Lama vs Sahabat Baru

Antara akhlak buruk dalam persahabatan itu adalah, apabila anda mengenali seseorang sahabat yang baru dan anda sibuk serta teruja mengenali keperibadiannya, maka sahabat anda yang lama telah anda kenali, anda telah tinggalkan atau abaikan secara diam. Ya, mungkin anda sendiri tidak menyedari akan hal itu. Tapi ia memberikan impak kepada sahabat lama anda.

Boleh jadi, tali ukhuwah anda dengannya akan terputus!

Sebenarnya, saya tidak suka menggunakan label sahabat lama dan baru. Walaupun begitu, saya terpaksa gunakan kerana ia adalah suatu hakikat untuk disertakan dalam entri ini.

Ya, menjalinkan silaturrahim sesama manusia itu tidak dilarang, bahkan sangat digalakkan dalam agama. Namun kerana kelemahan anda, dalam menjalinkan silaturrahim dan menjaga hubungan sesama manusia, sahabat anda yang lain terasa terpinggir oleh anda. Mereka berasa bahawa anda dingin terhadap mereka, merasa bahawa mereka terabai kerana anda kurang bertanya khabar dan menyapa mereka.

Malah, mereka merasa bahawa ukhuwah anda dan mereka tiada seri!Kerana menjumpai sahabat baru, maka sahabat lama diabaikan dalam tidak sedar.

Saya sangat pasti, anda tidak mahu persahabatan anda dengan semua sahabat-sahabat yang anda cintai menjadi seperti ini. Penuh dengan perasaan dingin dan perasaan diabaikan.

Sahabat anda yang lama itu, jika benar menyayangi anda seikhlasnya, maka saya pasti dia akan gembira jika anda bertambah kenalan dan sahabat baru. Kerana kebahagiaan anda, adalah kegembiraan baginya, inshaAllah. Tapi apa yang tidak membahagiakan dirinya adalah apabila anda seakan-akan melupakan dirinya dan dia merasa sedih kerana anda membuatnya terasa yang anda memiliki orang yang lebih penting dan anda lebih cintai berbanding dia.

Persoalannya bukanlah kerana anda mempunyai sahabat baru.

Tetapi persoalannya adalah mengenai sikap anda yang membuatnya resah, dipinggirkan, merasa rendah diri dan terhina. Ya, semua itu dia dapat rasai walaupun anda tidak memberitahunya secara lisan. Pernah dengar kata-kata ini, Actions speak louder than words? Saya kira ayat ini memang betul!

Kerendahan Hati Sebagai Seorang Sahabat

Tanda-tanda kesetiaan kepada sang sahabat adalah tetap merendah hati walau siapapun diri anda dan mengingatkan anda sekiranya terlupa!

Sahabat yang baik dan sebenar-benarnya sahabat adalah sahabat yang menerima kelebihan dan kekurangan dalam sahabatnya. Jika sahabatnya mempunyai kekurangan dari satu segi, maka dia akan menutupi dengan kelebihannya. Dan dia tidak pula memandang rendah kepada sahabatnya tadi malah membantunya!

Jika ALLAh Ta’ala takdirkan untuk mengenali sahabat baru, jangan sekali-kali membandingkan sahabat yang baru anda kenali itu dengan sahabat yang telah lama anda kenali. Ia salah satu sifat yang jelek! Jika anda berbuat demikian, maka itu bukanlah ciri seorang sahabat yang baik kerana mengira-ngira akan kekurangan dan kelebihan sahabat lalu dibandingkan dengan sahabat yang baru dikenali.

Jangan sahabat baru bertambah, sahabat lama berkurang. Kerana hakikatnya, sahabat anda tidak akan pernah bertambah. Sebaliknya makin berkurang! Alangkah sedihnya.

Umar Al-Khattab pernah berkata, “Tiga hal yang dapat memurnikan tali kasih seorang sahabat kepadamu ialah, jika bertemu tegurlah dengan salam terlebih dahulu, memanggilnya dengan nama yang paling disukai, mempersilakan dan memberi tempat kepadanya dalam suatu acara.”

MashaAllah. Begitu sudahkah kita sebagai seorang sahabat?Yang memuliakan sahabatnya lebih daripada diri sendiri.

Nasihat yang terutamanya untuk diri saya sendiri sebenarnya yang masih belajar dan akan terus belajar.

Jika anda ada sahabat yang mengasihi anda seperti mengasihi dirinya, maka hargailah ia.Bersyukur dan berilah rasa istimewa dihatinya sebagai seorang sahabat anda.Kerana dia, adalah sebahagian daripada hidup ini untuk ke akhirat!

*** edited from www.cintailahi.com